Pencapaian ini adalah tempoh pemerintahan paling lama yang pernah dialami oleh kerajaan Islam di Granada semenjak Islam tiba di bumi Sepanyol pada tahun 711M. Sepanjang tempoh hampir dua setengah abad, kerajaan Nasriyyah berada di bawah pemerintahan 22 orang sultan.
Pendahuluan
Kerajaan Nasriyyah, juga dikenali sebagai kerajaan Banu Nasr atau Banu al- Ahmar, ialah kerajaan Islam terakhir yang memerintah Andalus bermula pada tahun 1238 hingga 1492M (635-897H). Pada zaman pemerintahan kerajaan ini, Andalus telah mencapai era kemuncak kegemilangan tamadun kesenian Islam dengan terbinanya istana Alhambra (al-Hamra’) di puncak Banjaran Sierra Nevada (Jabal Shalir/al-Thalj) di Granada yang tetap menjadi the artistic genius of Muslim Spain (Chejne 1974: 360). Kerajaan ini, yang dikenali sebagai Nasrid Dynasty atau the Kingdom of Granada dalam bahasa Inggeris, muncul ketika kekuasaan Islam di Sepanyol sedang mengalami keruntuhan. Kerajaan demi kerajaan dan kota demi kota jatuh ke tangan pihak Kristian yang melancarkan gerakan menawan semula kawasan kekuasaan Islam.
Di samping itu, kerajaan Nasriyyah juga telah melalui perit getir dalam membangunkan sebuah peradaban insani, di samping menentukan jatidiri bangsanya sendiri. Kegemilangan tamadun Islam ketika ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti pengurusan politik dan pentadbiran, perkembangan intelektualisme dan pendidikan, penguasaan bahasa dan kesusasteraan Arab, kerancakan aktiviti ekonomi dan perdagangan, perancangan, urbanisasi dan pertanian serta pegangan agama dan budaya tempatan yang utuh.
Meskipun demikian, kerajaan Nasriyyah telah berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya sendiri dalam keadaan yang begitu meruncing di persekitarannya.
Pemerintah Kristian (Castile, Aragon, Navarre, Leon dan
Portugal) sentiasa menyerang kerajaan ini dan fenomena tersebut telah memberi impak negatif terhadap pentadbiran dan pemerintahan Islam di Granada. Mereka
seringkali menyerang – menerusi usaha La Reconquista – kawasan-kawasan pemerintahan Islam dengan matlamat menghapuskan Islam dan mengambil semula tanah jajahan yang sebelum ini diduduki Islam. Usaha ini disokong padu pemimpin tertinggi Kristian, Pope di Rome, dengan melancarkan the Crusades (Perang Salib) ke atas dunia Islam. Dengan kepintaran dan kemahiran para pemimpin kerajaan Nasriyyah menggunakan helah politik dan kebijaksanaan mereka berinteraksi dengan pihak Kristian di sekeliling, kerajaan ini mampu bertahan selama hampir dua setengah abad dalam memperjuangkan kedaulatan agama Islam di Eropah.
Granada atau Gharnatah
Kerajaan Nasriyyah berpusat di Granada atau Gharnatah dalam bahasa Arab yang terletak di tenggara Semenanjung Iberia. Granada turut dikenali dengan Ighranatah atau Aghranatah.
Perkataan Granada juga dipercayai berasal daripada perkataan Latin, iaitu granata yang membawa maksud buah delima. Ini memandangkan Granada dipenuhi dengan kebun delima yang digambarkan sebagai sebuah pohon berbuah lebat dan amat cantik.
Meskipun demikian, seorang orientalis Sepanyol bernama Francisco Simonet, berpandangan bahawa Granada dirujuk kepada era pemerintahan
kaum Goth berasal daripada gabungan dua perkataan, iaitu ghar dan natah. Ghar merujuk kepada sebuah kampung lama dalam wilayah Élvira pada zaman pemerintahan Rom. Manakala natah pula, ialah ungkapan yang ditambah oleh orang Arab kepada kampung tersebut. Apabila digabungkan, terhasillah perkataan Gharnatah.
Perselisihan para sejarawan dalam menamakan sesuatu bandar adalah disebabkan oleh perbezaan dalam sebab-sebab penamaan dan juga kepelbagaian andaian dalam penamaan tersebut.
Pada peringkat awal ketibaan Islam di Andalusia, Granada hanyalah sebuah bandar kecil dalam wilayah Élvira dan kemudian berkembang pesat menjadi sebuah bandar yang memainkan peranan utama dalam pergolakan umat Islam di Andalus .
Daripada sebuah bandar, Granada kemudian menjadi nama bagi wilayah menggantikan nama Élvira. Kota Granada terletak di kawasan tercantik di tenggara Semenanjung Iberia. Di sebelah timur, ia mengadap Lautan Mediterranean dan di sebelah selatan pula, ia menjalar hingga ke pinggiran Gibraltar. Manakala di sebelah barat ia memanjang hingga ke Sierra Morena.
Kawasan pergunungan di Granada tidak rata dan dipenuhi bukit-bukauyang curam serta berada pada aras yang tinggi dari Sungai Guadalquivir. Antarabandar yang terletak berhampiran sungai ini ialah Jaén, Baeza dan Úbeda. Bandarbandar ini kekal menjadi medan pertelingkahan dan perebutan kuasa di antara pihak Islam dan Kristian.
Antara bandar yang terletak di bawah pemerintahan kerajaan Nasriyyah ialah Loja, Priego, Guádix, Juliana, Almunécar, Baza, Málaga dan Ronda
Granada juga dikenali sebagai Sham al-Andalus atau Dimashq al-Andalus disebabkan kemasyhurannya dengan keindahan taman-taman dan kebun-kebun. Suasana ini mempunyai pengaruh yang besar dalam diri penduduk Granada sehingga keindahannya diumpamakan dengan keindahan daerah-daerah di Timur.
Granada lebih dikenali sebagai sebuah kawasan subur yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Sebanyak 36 anak sungai telah mengairi Granada melalui Banjaran Sierra Nevada. Antara sungai yang terkenal ialah Sungai Genil (Nahr Shanil) yang menjadi sumber inspirasi para penyair dan sasterawan Andalus. Selain Sungai Genil, terdapat juga Sungai Eldarro (Nahr Hiddaruh) yang mengalir dari sebelah timur Andalus.
Andalusia Awal Abad Ke-13
Andalusia Awal Abad Ke-13
Pada tahun 1224M, setelah kematian Khalifah Abu Yaqub Yusuf II al-Mustansir biAllah, kerajaan al-Muwahhidun sebagai pemerintah Islam di Andalus pada ketika itu, mula mengalami zaman kemerosoton dan kejatuhan. Bumi Andalus kemudiannya menjadi rebutan antara pihak Islam dan Kristian dalam menentukan kuasa pemerintahan yang mutlak. Ini menjadikan Andalus berada dalam keadaanperpecahan dan tidak aman. Andalus juga turut menjadi rebutan pemerintahpemerintah Islam.
Antara mereka yang berusaha untuk menjadi pemimpin utama Andalus ialah Abu Jamil Zayyan b. Mardanish. Pada tahun 1229M, beliau menjadikan Valencia, Denia dan daerah sekelilingnya sebagai pusat pergerakan. Namun, beliau gagal dalam usaha ini dan terpaksa melepaskan Valencia pada 27 Safar 635H/9 Oktober 1238M kepada pihak Kristian Aragon. Peristiwa ini berlaku setelah bantuan yang beliau minta daripada Amir Abu Zakariyya, pemerintah kerajaan Hafsiyyah di Tunisia, dihalang oleh tentera Kristian. Kemudian, James I of Aragon menawan Denia, Alicante, Cartagena dan Oriuela di antara tahun-tahun 641-644H/1244-1246M.
Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh pihak Castile untuk memasuki Murcia pada 1243M setelah para pemimpin Murcia bersetuju untuk berada di bawah penguasaan Castile. Ferdinand III of Castile telah mewakilkan anaknya, Alfonso X, untuk menjalankan tugas ini dan peristiwa tersebut menandakan bahawa seluruh bahagian timur Andalus berada di bawah penguasaan Kristian.
Di samping itu, Abu Abd Allah Muhammad b. Yusuf b. Hud al-Judhami berusaha untuk menerajui pemerintahan Andalus dengan menjadikan Murcia sebagai pusat pemerintahannya. Setelah Banu Hud kehilangan Zaragosa pada tahun 1118M, keluarga ini berada di bawah pemerintahan Kristian selama beberapa dekad.
Perwatakan Ibn Hud amat terpengaruh dengan kehidupannya sebagai seorang bangsawan Arab, iaitu memiliki sifat-sifat yang tegas, berani, pemurah dan mahir dalam urusan diplomasi serta hal-ehwal peperangan
Kemudian pada tahun 1228M, Ibn Hud yang juga dikenali sebagai Amir al-Mu’minin Sayf al-Dawlah al-Mutawakkil calaAllah, telah menawan Murcia daripada wakil kerajaan al-Muwahhidun ketika itu bernama al-Sayyid Abu al-Abbas. Dari Murcia, Ibn Hud memperluaskan kuasanya ke Cordova, Seville, Granada, Almería, Ceuta, Algeciras, Jaén, Merida dan Badajoz. Beliau menguaruarkan untuk membebaskan bumi Andalus daripada pemerintahan al-Muwahhidun dan cengkaman kekejaman pihak Kristian.
Di samping itu, Ibn Hud turut bertekad untuk melaksanakan syariah Islamiah secara meluas. Justeru, beliau telah memaklumkan Khalifah Abbasiyyah di Baghdad, al-Mustansir, mengenai penguasaannya terhadap bandar-bandar ini dan khalifah telah membalas dengan isi kandungan surat yang panjang sebagai pengakuan.
Pada tahun 1229M, pihak al-Muwahhidun tewas dalam pertempuran mereka dengan Ibn Hud. Ini menyebabkan kota Seville telah dirampas dan berada di bawah kuasa pemerintahan Ibn Hud. Namun Ibn Hud tidak berkemampuan untuk berhadapan dengan kekuatan pihak Kristian. Ini dibuktikan apabila Raja Léon, Alfonso IX, telah menyerang kawasan barat Andalus dengan memasuki bandar Merida dan mengepungnya. Ibn Hud cuba untuk mempertahankan Merida tetapi beliau kalah dalam pertempuran dengan pihak Léon. Seterusnya, pihak Léon
juga menawan kota Badajoz (1230M). Ferdinand III, yang juga anak kepada Alfonso IX of Léon, telah mengambil kesempatan atas ketidakstabilan kuasa Ibn Hud ini dengan menawan beberapa wilayah Andalus.
Beliau beranggapan bahawa Ibn Hud perlu dihapuskan memandangkan hanya Ibn Hud sahaja yang dianggap sebagai pemimpin utama umat Islam di Andalus pada masa itu. Namun demikian, Ibn Hud masih berjaya meluaskan kuasanya ke kawasan pantai Andalus termasuklah Alméria dan Granada (1231M). Beliau kemudiannya membina semula kekuatan tenteranya di Jerez dan berperang dengan pihak Kristian di sana. Ibn Hud tewas buat kali kedua dan kesempatan ini diambil oleh Ferdinand III dengan menawan kota Ubéda (1234M).
Pada ketika ini, pihak Kristian mencari jalan untuk menawan kota metropolitan Cordova. Walaupun Cordova pada ketika itu berada di bawah kekuasaan Ibn Hud, namun tidak terdapat pun seorang pemimpin yang mampu membentuk satu kekuatan menentang kekuasaan pihak Kristian. Dalam keadaan tidak menentu dan penuh krisis ini, penduduk Cordova telah meminta bantuan daripada Ibn Hud dan seterusnya bersetuju untuk memberi ketaatan kepadanya. Pihak Kristian Castile menyedari permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Cordova. Ini
menyebabkan mereka bersiap sedia dengan memperkemaskan kekuatan tentera untuk menyerang kota metropolitan Islam, Cordova. Perancangan ini diteruskan
dengan menyerang bahagian timur kota ini yang terkenal dengan nama al-Sharqiyyah. Serangan yang dilakukan pada waktu malam ini telah membuahkan hasil kepada pihak Kristian. Mereka berjaya menawan sebahagian menara dan istana yang terletak di pinggir kota tersebut.
Dalam membuat persediaan rapi untuk mempertahankan kota ini daripada dirampas oleh pihak musuh Kristian,
penduduk Cordova telah mengambil inisiatif dengan menghantar utusan kepada Ibn Hud meminta bantuannya. Ibn Hud telah mengarahkan bala tenteranya menuju ke Écija berdekatan kota Cordova tetapi setibanya di sana, Ibn Hud tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyerang pihak Kristian.
Terdapat sesetengah riwayat mengatakan bahawa Ibn Hud menyedari kehebatan dan kekuatan bala tentera pihak musuh menyebabkan beliau telah menarik diri daripada membuat sebarang serangan.
Riwayat lain pula mengatakan bahawa ketika Ibn Hud menghampiri kota Cordova, beliau telah menerima permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Abu Jamil Zayyan b. Mardanish di Valencia. Ini menyebabkan beliau telah beralih pandangan ke Valencia kerana beliau berpendapat peluang untuk memenangi peperangan di sana lebih mudah berbanding di Cordova. Akibatnya, pihak Kristian telah mengepung Cordova selama beberapa bulan, dan penduduk Cordova telah sedaya upaya mempertahankan kota ini demi maruah agama, bangsa dan negara.
Malangnya, mereka terpaksa menyerahkan kota Cordova kepada pihak Kristian setelah kepungan yang terlalu lama dan kegagalan mereka untuk mendapatkan bantuan. Peristiwa malang ini berlaku pada 23 Shawwal 633H/29
Jun 1236M. Kekalahan umat Islam di Cordova ini menjadi satu tamparan hebat kepada pemerintahan Islam di Andalus kerana sebelum ini, kota Cordova ialah pusat pemerintahan Islam Andalus semenjak al-Wulat lagi
Penubuhan Kerajaan Nasriyyah Di Granada
Pada ketika umat Islam mengalami kekalahan di Cordova ini, Ibn Hud berhadapan dengan kuasa Ibn al-Ahmar di Arjona. Kemunculan penguasaan Ibn al-Ahmar ini sebenarnya tidak bermula di Granada, tetapi di Arjona pada 26 Ramadan 629H/18 April 1232M. Pekan terpencil ini terletak di barat laut daerah Jaén dan selatan daerah Andújar (Harvey 1990: 20) dan merupakan kubu pertahanan bagi kota Cordova di sebelah timur. Di pekan inilah, Muhammad b. Yusuf b. Nasr al-Khazraji, atau lebih dikenali sebagai Ibn al-Ahmar, berjaya menjadi pemimpin di kampung halamannya sendiri. Dari sinilah, beliau berjaya meluaskan kuasanya ke kawasan-kawasan selatan Andalus seperti kota-kota Jaén, Guádix dan Baeza kerana ia berdekatan dengan Arjona dan berjauhan daripada serangan pihak musuh Kristian.
Pada peringkat awal, Ibn al-Ahmar merasakan perlu untuk mendapatkan perlindungan dan naungan daripada pemerintahan yang lebih kuat, tidak kira kuasa Islam ataupun pihak musuh Kristian. Sesetengah riwayat melaporkan bahawa Ibn al-Ahmar telah mencontohi tindakan Ibn Hud dengan mengaku tunduk dan memohon pengiktirafan Khalifah Abbasiyyah di Baghdad terhadap
pemerintahannya di Andalus. Kesan daripada tindakan tersebut, Ibn al-Ahmar telah berjaya memperluaskan pemerintahannya dengan menduduki wilayah-wilayah Carmona, Cordova dan Seville pada tahun 629H/1231M dan ini membolehkan beliau menerima kesetiaan dan ketaatan penduduk wilayah-wilayah tersebut; itu pun hanya dalam tempoh yang singkat sahaja. Ini kerana Cordova dan Seville telah beralih arah untuk menyokong dan memberi ketaatan kepada Ibn Hud. Pada ketika inilah berlaku satu pemberontakan di Seville di bawah pimpinan al-Qadi Abu Marwan al-Bajji. Kesempatan ini telah digunakan oleh Ibn al-Ahmar dengan sebaik mungkin dengan bergabung tenaga bersama-sama al-Bajji menentang kuasa Ibn Hud. Mereka berdua telah berjaya menewaskan Ibn Hud dalam beberapa pertempuran.
Kelicikan Ibn al-Ahmar dalam berpolitik amat jelas apabila beliau berjaya memperdayakan al-Bajji dengan helah politiknya supaya al-Bajji dipinggirkan dan dirancang pembunuhannya secara rahsia. Tidak lama kemudian, iaitu pada tahun 629H/1232M, Ibn al-Ahmar berjaya memperoleh ketaatan daripada penduduk Jerez, Málaga dan kawasan berdekatan.
Pada ketikaini, kepimpinan dan urusan pentadbiran kota Seville dan kota-kota di bahagian barat Andalus dipegang oleh pemimpin-pemimpin tempatan dan terdapat di kalangan mereka ini yang segera menunduk patuh dan mendapatkan perlindungan Ibn al-Ahmar. Situasi ini membenarkan Ibn al-Ahmar membentuk kuasa ketenteraan yang kuat lagi hebat yang terdiri daripada gerombolan tentera berkuda dan tentera berjalan kaki.
Suatu perkara yang menarik ialah dalam sesetengah peristiwa, Ibn al-Ahmar telah mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan Ibn Hud, malah beliau
telah menyatakan ketaatan dan kesetiaan kepadanya. Hal yang berlaku pada tahun 631H/1234M ini disebabkan Ibn al-Ahmar beranggapan bahawa kuasa Ibn Hud mula bertambah dan tampak hebat dengan kuasa pemerintahannya yang melangkaui hingga ke bahagian barat dan selatan Andalus. Malangnya pada tahun 1238M, Ibn Hud meninggal dunia dan kuasa pemerintahan kerajaan yang diwarisinya mula lemah dan berkurangan. Kesempatan ini digunakan Ibn al-Ahmar dengan sebaik mungkin untuk membina kekuasaannya sendiri di bumi
Andalus. Pada ketika inilah, penduduk Granada bangun memberontak di bawah pimpinan Ibn Khalid menentang kepemimpinan Gabenor Ibn Hud yang bernama Utbah b. Yahya al-Mughili. Penentangan dilakukan kerana dasar pentadbiran dan polisi pemerintahan Utbah al-Mughili yang amat membebankan dan peribadinya yang kurang disenangi dan bersifat amat zalim.
Mereka Berjaya menawan istana Utbah al-Mughili dan membunuhnya. Setelah pemberontakan tersebut berjaya, mereka telah memberi ketaatan dan kesetiaan kepada Ibn al-Ahmar dan menjemputnya datang ke Granada. Ibn al-Ahmar segera menyahut jemputan tersebut dan tiba di Granada ketika gelincir matahari pada akhir Ramadan 635H/April 1238M.
Pada tarikh ini juga, bermulalah penglibatan secara langsung Ibn al-Ahmar dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan di Granada. Tidak lama selepas kejayaan menguasai kota Granada, Ibn al-Ahmar berjaya pula menawan kota Alméria dengan menewaskan serangan ketenteraan Gabenor Ibn Hud, iaitu Ibn al-Ramimi melalui kepungan selama beberapa ketika. Ini menyebabkan Ibn al-Ramimi lari ke Tunisia melalui jalan laut untuk mendapatkan perlindungan pemerintah di sana.
Satu perkara yang mendukacitakan ialah orak-arik yang berlaku di Andalus pada abad ke-13 dan ke-14M telah menyebabkan kuasa pemerintahan Islam mula berkurangan dan penguasaan semula kuasa Kristian yang berleluasa. Ketenatan perpaduan umat Islam menjadi faktor penting kepada kemunculan kuasa-kuasa kecil Islam dan suasana sebegini dipenuhi pula dengan semangat perpecahan semata-mata untuk memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang tamakkan kuasa.
Hal ini berlaku terutamanya di Murcia dan bahagian timur Andalus. Pada tahun 640H/1243M, Murcia telah diserahkan kepada Ferdinand III of Castile. Beliau telah mewakilkan anaknya, Alfonso X, untuk memeterai beberapa perjanjian
dengan Gabenor Murcia, Muhammad b. Ali b. Hud, serta wakil-wakil pemimpin kota Alicante, Cartagena dan Oriuela agar memberi persetujuan untuk mengiktiraf penguasaan kuasa Kristian Castile ke atas wilayah-wilayah tersebut, di samping menjelaskan pembayaran ufti. Inilah realiti yang berlaku di Andalus; umat Islam menghadapi pelbagai tekanan khususnya yang dilakukan oleh kuasa Kristian dengan menggadaikan tanah air sendiri semata-mata menjamin kelangsungan kuasa yang terbatas di bumi Eropah.
Dari pandangan pihak Kristian, terutamanya Ferdinand III of Castile, gerakan Ibn al-Ahmar perlu diberi perhatian dan dihentikan dengan segera. Ini kerana setelah kematian Ibn Hud, Ibn al-Ahmar ialah satu-satunya pemimpin Islam Andalus yang masih berkuasa dan sentiasa menentang kuasa-kuasa Kristian menyebabkan usaha serangan oleh pihak Castile telah diperhebatkan. Ferdinand III telah bertindak dengan menyerang dan menghancurkan kubu-kubu pertahanan kota Jaén. Tindakan Ferdinand ini menyebabkan Ibn al-Ahmar telah
ke Martos yang telah dikuasai oleh pihak Kristian Castile dengan bala tenteranya yang besar dan melakukan kepungan ke atas bandar tersebut. Pihak Kristian
tidak mengaku kalah dan tetap mara memberi bantuan kepada pihak Martos lalu menyebabkan Ibn al-Ahmar terpaksa meningkatkan kepungan di Martos.
Akhirnya, berlakulah satu pertempuran yang hebat dan kemenangan berada di pihak Ibn al-Ahmar. Kekalahan pihak Kristian ini tidak mematahkan semangat mereka. Ferdinand III telah menghantar anaknya, Alfonso X untuk menyerang semula wilayah Jaén dan berjaya menawan kubu Arjona dan kawasan sekitarnya serta mengepung kota Granada pada tahun 642H/1244M. Pada tahun berikutnya, mereka menyerang Jaén dan berjaya menawannya.
Kekuatan tentera Kristian dalam menguasai kota Jaén dan daerah selatan Andalus ini amat merungsingkan Ibn al-Ahmar, apatah lagi mereka berjaya mengepung kota Granada. Ini menyebabkan beliau dengan segera mengambil langkah berbaik-baik dan berdamai dengan Raja Ferdinand III. Ibn al-Ahmar bersetuju untuk member ketaatan dan kesetiaan kepada pemerintahan Castile.
Hal ini dimeteraikan dalam Perjanjian Jaén pada tahun 1246M antara kedua-dua belah pihak yang melibatkan persetujuan Ibn al-Ahmar untuk memberi bantuan ketenteraan apabila pihak Castile memerlukannya, dan pembayaran ufti sebanyak 150,000 maravedis setiap tahun kepada Ferdinand III. Malah Ibn al-Ahmar juga telah memberikan ‘taatsetia’nya kepada Ferdinand III. Ibn al-Ahmar telah bersetuju menyerahkan Jaén, Arjona, Porcuna, Priego, Higuera dan La Frontera sebagai cagaran kepada pihak Castile.
Dengan penyerahan kawasan-kawasan ini sebagai cagaran pada tahun 643H/1245M, Ferdinand III telah bersetuju untuk berdamai dengan Ibn al-Ahmar selama 20 tahun. Meskipun tempoh ini dipertikaikan, pemerintah Nasriyyah sememangnya memerlukan tempoh tersebut untuk memulihkan keadaan. Dalam tempoh ini, era pemerintahan Ibn al-Ahmar berada dalam keadaan aman damai dan tenteram. Tindak-tanduk Ibn al-Ahmar dalam menyelamatkan kedudukannya sebagai pemerintah tunggal daerah Granada ialah suatu perkara yang wajar diimplimentasikan oleh seorang ahli politik yang licik dani pintar. Ini dilakukan semata-mata untuk menjamin survival pemerintahan kerajaan Nasriyyah berkekalan di Andalus.
Pemerintahan Kerajaan Nasriyyah
Andalusia hanya tinggal Granada dalam pemerintahan Bani Nasri
Kerajaan Nasriyyah diperintah oleh seramai 22 orang sultan, bermula dari tahun 1238M hingga 1492M. Pada peringkat awal, sultan-sultan kerajaan Nasriyyah berusaha bersungguh-sungguh untuk menstabilkan kedudukan politik dan pentadbiran negara. Setelah kedudukan negara dan kerajaan terjamin aman dan stabil, usaha pengukuhan dan pemantapan dilaksanakan agar kerajaan bertambah kuat dan utuh. Pada ketika inilah, kerajaan Nasriyyah mencapai era kecemerlangannya dalam tamadun dunia dan ini telah memberi implikasi positifkepada perubahan tamadun Eropah selepasnya, terutama terhadap perkembangan kesenian dan seni bina Barat.
Namun beberapa elemen negatif yang menular di kalangan para sultan, pemimpin negara, pentadbir, tentera dan faktor luaran seperti keganasan kuasa Kristian, semua ini telah menyumbang kepada kemerosotan dan kejatuhan kerajaan Nasriyyah di Andalus, sebagai sebuah kerajaan berdaulat.
Pengukuhan Kuasa
Pada zaman ini, kerajaan Nasriyyah berada di bawah pemerintahan sultan-sultan yang memberi sumbangan besar dalam mewujudkan pola-pemerintahan penuh
taktik dengan matlamat untuk memperkukuhkan integriti mereka di Andalus. Era ini menampakkan kesungguhan dan kewibawaan yang dimiliki oleh para pemerintah kerajaan Nasriyyah, terutamanya Ibn al-Ahmar. Beliau telah berjaya menubuhkan kerajaan Nasriyyah secara rasmi di Andalus pada tahun 635H/1238M dan kerajaan ini terus berkekalan dengan dikelilingi kuasa-kuasa Kristian
sehingga kejatuhannya pada tahun 1492M.
Permasalahan seterusnya yang dihadapi oleh sultan kedua kerajaan Nasriyyah, Muhammad II b. Muhammad b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1273-1302M) atau lebih dikenali sebagai Muhammad al-Faqih, ialah menghadapi
serangan hebat kuasa Kristian terhadap kerajaan Nasriyyah. Beliau turut resah dengan campur tangan pemerintah Banu Marin, Sultan Abu Yusuf Yaqub b.
Abd al-Haqq, ketika memberi bantuan ketenteraan kepada Granada dengan hasrat sampingan untuk menguasai Granada (Andalus). Malah, pemberontakan
Banu Ashqilulah juga telah mengganggu kelancaran pemerintahannya, hasil kesinambungan penentangan yang dilakukan semenjak zaman ayahnya lagi.
Dengan kepintaran yang dimilikinya, Muhammad al-Faqih berjaya mengatasi semua permasalahan ini. Permasalahan dengan pemerintah Banu Marin berkait rapat dengan pemberontakan yang dilakukan oleh Banu Ashqilulah. Perlu diketahui bahawa permainan politik pada zaman Muhammad al-Faqih ini penuh dengan helah. Pada satu masa Muhammad al-Faqih bergabung tenaga dengan
Sultan Abu Yusuf Yaqub menentang pihak Banu Ashqilulah. Pada masa yang lain, beliau bersekutu pula dengan Alfonso X of Castile menyerang pemerintah Banu Marin dan Banu Ashqilulah .
Penyelesaian diperoleh apabila Sultan Abu Yusuf Yaqub meninggal dunia dan tampuk pemerintahan dipegang oleh anaknya, Sultan Abu Yaqub Yusuf. Sultan baru ini telah mengamalkan dasar dan prinsip berbaik-baik dengan pemerintah kerajaan Nasriyyah. Di samping itu juga, Banu Marin pada ketika itu menghadapi masalah dalaman yang berlaku selepas kematian Sultan Abu Yusuf YaCqub,
menyebabkan mereka telah melepaskan penguasaan terhadap bandar Tarifa dan Algeciras. Manakala, keluarga Ashqilulah pula setelah tidak diberi bantuan oleh
kerajaan Kristian Castile, mereka telah lari meninggalkan Guádix menuju ke Maghribi.
Permasalahan dan pergolakan kerajaan Nasriyyah ini seperti sebuah permainan yang disertai oleh empat pihak (kerajaan Nasriyyah, kerajaan Banu Marin, Banu Ashqilulah dan pihak Kristian Castile); pelbagai aturan dan undang-undang dibuat tetapi masing-masing melanggari dan mengingkarinya.
Dalam hubungan dengan pihak Kristian pula, memandangkan keadaan pihak Kristian Castile pada ketika ini bergolak dengan permasalahan dalaman,
Muhammad al-Faqih berjaya memeterai beberapa perjanjian perdamaian dan gencatan senjata. Perjanjian ini dibuat setelah kematian Alfonso X (1252-1284M),
iaitu setelah takhta kerajaan disandang oleh anaknya, Sanco IV (1284-1295M) dan cucunya, Ferdinand IV (1295-1312M).
Sultan ketiga kerajaan Nasriyyah, Muhammad III b. Muhammad b. Muhammad b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1302-1309M) atau lebih dikenali sebagai Muhammad al-Makhluk, telah digulingkan kerana kelemahan beliau dalam bidang pentadbiran. Baginda yang terkenal sebagai seorang sarjana dan penyair, ketika menaiki takhta mengidap sejenis penyakit mata akibat tabiat berjaga malam. Oleh kerana tekanan penyakit ini, beliau dikatakan telah bersikap kasar (al-fazazah dan al-qaswah).
Para pembesar Negara berpendapat bahawa beliau tidak lagi layak untuk menerajui kerajaan Nasriyyah, lebih-lebih lagi pada ketika ini, yang berkuasa pada hakikatnya ialah wazir baginda, Abu Abd Allah Muhammad b. al-Hakim. Ini menyebabkan mereka menyingkir dan membunuh Ibn al-Hakim dan seterusnya menyerbu istana sultan dan menggulingkan Muhammad al-Makhlu. Baginda kemudiannya dipindahkan ke Almunecar dan meninggal dunia di sana akibat serangan jantung.
Pemerintah kerajaan Nasriyyah keempat, Nasr b. Muhammad II b. Muhammad b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1309-1314M) ialah seorang yang berperwatakan mulia dan gemar melakukan kebajikan. Pada zaman pemerintahannya, baginda berhadapan dengan tentangan pihak Castile-Aragon dan Castile-Banu Marin. Kota Algeciras dan Gibraltar telah ditawan pihak Kristian Castile pada tahun 1309M dan ini menyebabkan Nasr bersetuju untuk membayar cukai dan memberi kesetiaan kepada Ferdinand IV of Castile. Suasana sebegini menyebabkan Nasr mengambil langkah berbaik-baik dengan Banu Marin dan memohon bantuan ketenteraan daripada mereka dengan mengembalikan Ceuta kepada mereka dan mengahwinkan saudara perempuan baginda dengan Sultan Abu al-Rabi al-Marini.
Akibatnya, pihak Kristian mengalami kerugian daripada serangan tersebut dan mereka terus meninggalkan Algeciras pada tahun 1310M. Satu perjanjian dimeterai antara Nasr dengan pihak Kristian dengan persetujuan bahawa pihak Kristian akan membayar ganti rugi peperangan kepada kerajaan Nasriyyah.
Tidak lama setelah Nasr berjaya menyelesaikan masalah luaran negara dan mengembalikan keamanan di Granada, beliau berhadapan pula dengan ‘fitnah’ dalaman, iaitu pengisytiharan anak saudaranya, IsmaCil I b. Faraj, sebagai pemerintah di Málaga. IsmaCil I b. Faraj b. IsmaCil b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1314-1325M) menjadi Amir al-Muslimin kerajaan Nasriyyah kelima dengan menangkap bapa saudaranya, Nasr, dan memaafkannya serta melantik beliau sebagai gabenor di Guádix.
Satu peperangan telah berlaku antara Kerajaan Nasriyyah dengan bantuan panglima Banu Marin, Abu Said cUthman b. al-Ula, dengan pihak Kristian di bawah pimpinan Don Pedro dan Don Juan, panglima tentera kerajaan Kristian Castile. Peperangan hebat ini berlaku pada tahun 716H/1316M di Guádix dan pihak Kristian telah mengalami kekalahan. Kedua-dua panglima tentera Kristian Castile telah terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Suatu perkara yang menakjubkan ialah bilangan orang Islam yang syahid dalam pertempuran ini amat sedikit bilangannya, iaitu sekitar 13 orang daripada jumlah
keseluruhan tentera berkuda yang mencecah 1,500 orang. Pemerintahan zaman Ismacil I berjaya memenangi dan menawan semula beberapa daerah daripada pihak Kristian seperti Baeza (1324M), Orce, Huescar, Galera dan Martos (1325M). Namun pada tahun terakhir ini, baginda telah dibunuh oleh sepupunya yang juga gabenor Algeciras, Muhammad b. Ismacil b. Muhammad.
Kerajaan Nasriyyah seterusnya diperintah oleh Muhammad IV b. Ismail b. Faraj b. Ismail b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1325-1333M) yang baru berumur sembilan tahun ketika menaiki takhta. Memandangkan baginda masih kecil, kuasa pemerintahan terletak pada kekuasaan pembimbing dan wazir baginda bernama Ibn al-Mahruq. Namun, setelah tiga tahun ditabalkan menjadi pemerintah Nasriyyah, baginda telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Ibn al-Mahruq.
Pada masa pemerintahan Muhammad IV, pihak Kristian telah merancang untuk menyerang Granada melalui international crusades yang dipersetujui oleh pihak Castile, Aragon, Navarre, Perancis, England dan Bohemia. Namun, pakatan antarabangsa ini terbengkalai kerana tiada kesepakatan sesama mereka lalu menyebabkan pihak Castile sahaja yang melakukan serangan ke atas kerajaan Nasriyyah (1330M).
Mereka Berjaya menawan Teba, bahagian barat Antequera. Dalam serangan ini, Muhammad IV telah memohon bantuan Banu Marin, yang pada masa yang sama sedang berhadapan dengan pemberontakan dalaman. Sungguhpun begitu, pemerintah kerajaan Banu Marin pada ketika ini, Sultan Abu al-Hasan Ali b. Uthman (731-752H/1331-1351M) yang merupakan sultan yang paling berkuasa dalam pemerintahan Banu Marin di Maghribi telah memberi bantuan kepada kerajaan Nasriyyah.
Kepungan yang dilakukan oleh tentera Banu Marin ke atas pihak Castile di Gibraltar telah memaksa pihak Kristian bersetuju untuk menandatangani perdamaian dengan kerajaan Nasriyyah. Selepas itu Granada berada dalam keadaan aman damai selama lebih kurang 15 tahun. Pada masa inilah, Muhammad IV berjaya menawan semula kota-kota seperti Cabra, Priego, Ronda dan Marbella.
Walau bagaimanapun, peperangan ini telah mendedahkan pertelingkahan antara Muhammad IV dengan sheikh al-ghuzah, Uthman b. Abi al-Ula. Tindakan memohon bantuan daripada kerajaan Banu Marin yang sepatutnya dilakukan oleh sheikh al-ghuzah, tetapi sebaliknya dilaksanakan sendiri oleh Sultan Muhammad IV. Ketidaksepakatan antara dua pemimpin ini menyebabkan berlakunya perancangan untuk meminggirkan Muhammad IV sehingga membawa kepada kematiannya. Ada pakatan untuk membunuh Muhammad IV telah dilakukan oleh dua orang anak Uthman, iaitu Abu Thabit dan Ibrahim kerana tidak bersetuju dengan perlakuan sultan yang santap bersama raja Castile dan memakai pakaian pemberian raja tersebut ketika merundingkan perdamaian.
Pada ketika inilah, Abu Nucaym Ridwan, segera ke istana di Granada dan Menama serta mengisytiharkan adik Muhammad IV yang bongsu, Yusuf I, sebagai pemerintah Nasriyyah seterusnya.
Kemajuan Dan Kegemilangan
Pada peringkat ini, kedudukan kerajaan Nasriyyah telah mencapai kestabilan politik dan pemerintahan seimbang melalui kebijaksanaan para sultannya. Meskipun negara berhadapan dengan pelbagai serangan oleh pihak Krsitian, kerajaan Nasriyyah tetap mampu bertahan dan berjaya meninggikan kegemilangan kesenian Islam dan keagungan nilai intelektualisme penduduk Granada melalui peradaban manusia yang tiada tolok bandingnya.
Setelah kedudukan pemerintahan kerajaan Nasriyyah mula stabil dan lebih mantap, pemerintah-pemerintah seterusnya mengekalkan bentuk pemerintahan sedia ada dengan kamahiran mereka mengambil setiap peluang yang ada, sama ada peluang itu diperoleh daripada pihak kerajaan Banu Marin di Afrika Utara mahupun kerajaan-kerajaan Kristian di sekelilingnya. Kematian Muhammad IV
digantikan dengan adiknya, Sultan Abu al-Hajjaj Yusuf b. Ismail b. Faraj b. Ismail b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1333-1354M). Zaman pemerintahan Sultan Abu al-Hajjaj Yusuf I digambarkan oleh Harvey sebagai permulaan zaman kegemilangan tamadun Islam di Granada.
Akan tetapi pada masa yang sama, pemerintahannya telah mengalami satu peristiwa yang amat menyedihkan, iaitu kekalahan tentera Islam yang paling dahsyat sepanjang pemerintahan kerajaan Nasriyyah di Granada kepada pihak Kristian Castile dalam the Battle of the Rio Salado pada tahun 1340M.
Tindakan pertama yang diambil oleh Sultan Yusuf I setelah pertabalan ialah menyingkir keseluruhan Banu Abi al-Ula ke Tunisia dan melantik Yahya b. Umar b. Rahhu daripada Banu Rahhu b. Abd al-Haqq sebagai sheikh al-ghuzah menggantikan tempat Abu Thabit. Tindakan Sultan Yusuf I seterusnya ialah mengadakan perjanjian damai dengan pihak Kristian Castile dan kesultanan Banu Marin di Maghrib. Pada tahap ini, dapat diperhatikan kedudukan Granada yang dianggap sebagai bahan cagaran di antara dua kuasa terbabit. Pihak Castile amat memerlukan perjanjian sedemikian untuk berhadapan dengan pemberontakan dalaman di kalangan para bangsawan negara.
Manakala pihak Banu Marin pula berhasrat untuk memperluaskan kuasa pemerintahannya ke Andalus. Oleh yang demikian, masing-masing meningkatkan kekuatan tentera laut mereka dan Selat Gibraltar menjadi idaman mereka. Dalam keadaan demikian, angkatan laut Castile di bawah pimpinan admiralnya, Alfonso Jofre Tenorio, telah menyerang gabungan tentera laut Granada dan Banu Marin, tetapi telah kalah teruk dengan kematian Jofre sendiri.
Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh pemerintah Banu Marin, Abu al-Hasan, untuk menyeberangi selat Gibraltar dengan seluruh kaum kerabatnya dan seterusnya mengepung kota Tarifa pada tahun 740H/1340M (Harvey 1990: 192). Sultan Yusuf I telah bergabung tenaga dengan Sultan Abu al-Hasan di Tarifa untuk menawan semula kota tersebut. Alfonso XI of Castile telah diberi bantuan segera oleh bapa mertuanya, Alfonso IV of Portugal dan berlakulah peperangan sengit pada 7 Jumada al-Ula 740H/30 Oktober 1340M yang lebih dikenali sebagai the Battle of the Río Salado atau the Battle of Tarifa.
Dalam peperangan tersebut, pihak Granada dan Banu Marin telah tewas teruk di tangan kuasa Kristian Castile.
Dengan kekalahan tentera Islam di Tarifa, pihak Kristian Castile melalui usaha ketenteraan Alfonso X dan bantuan kerajaan-kerajaan Kristian Eropah lain, telah mengepung dan menyerbu Algeciras. Ini memandangkan kedudukannya yang amat strategik dan penting sebagai sebuah pelabuhan di perairan selat Gibraltar.
Akhirnya pada 745H/1344M, kota Algeciras telah jatuh ke tangan pihak Castile. Malah kemenangan sebegini menjadikan kerajaan Kristian Castile begitu bersemangat untuk menawan semula kota Gibraltar yang dilakukan pada tahun 750H/1349M. Namun demikian, usaha ini terbengkalai kerana Alfonso XI telah meninggal dunia pada tahun 1350M. Kekalahan teruk pihak Islam dalam pertempuran the Battle of the Rio Salado cukup memeritkan lagi keadaan umat Islam di Granada. Jumlah
tentera Islam ketika itu ialah seramai 67,000 orang, iaitu 7,000 orang terdiri daripada tentera Granada dan selebihnya seramai 60,000 orang ialah tentera Banu Marin.
Pecahan jumlah tentera pihak Kristian pula ialah kepada tentera berjalan kaki seramai 12,000 orang dan tentera berkuda berjumlah 8,000 orang. Meskipun jumlah tentera Kristian jauh lebih kecil berbanding dengan tentera Islam, tetapi serangan penuh sistematik tentera berkuda pihak Kristian menyebabkan tentera Islam tewas. Serangan bentuk ini ialah gaya serangan yang sangat sesuai dengan
golongan masyarakat aristokrat Barat Eropah. Tentera berkuda mereka amat terlatih dan dilengkapi dengan pelbagai jenis peralatan perang yang berat. Tentera berkuda pihak Islam pula kurang dilengkapi dengan senjata ringan dan ini member kelebihan kepada pihak musuh. Kekalahan ini juga menyebabkan Sultan Abu al-Hasan terpaksa pulang semula ke Maghribi dan Sultan Yusuf I pula telah pulang ke Granada.
Walaupun kota Tarifa dan Algeciras telah berada di bawah kekuasaan pihak Kristian, namun pemerintahan Islam di Granada berjaya memulihkan kekuatannya pada zaman pemerintah kelima kerajaan Nasriyyah, iaitu era pemerintahan Sultan Muhammad V b. Yusuf b. Ismail b. Faraj b. Ismail b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1354-1359M, 1362-1391M) yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Ghani bi Allah. Setelah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Nasriyyah, Sultan Muhammad V yang mempunyai kewibawaan dan kebijaksanaan mentadbir negara telah meletakkan dasar agar mengamalkan konsep berbaik-baik dengan pihak Kristian Castile, yang pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Peter I the Cruel (1350-1369M).
Ini bertentangan dengan amalan biasa kerajaan sebelum ini yang sentiasa menumpukan kepada hubungan antarabangsa dua hala dengan pihak
Aragon. Pada masa yang sama, Peter I of Castile sedang berkonfrantasi dengan Peter IV of Aragon (1336-1387M). Dasar yang dipegang oleh kerajaan Nasriyyah ketika ini telah menyelamatkan keadaan dan seterusnya memberi peluang baik kepadanya untuk meneruskan kelangsungan pemerintahannya di Andalus.
Kemahiran Sultan Muhammad V mengeksploitasi situasi sebegini menyebabkan beliau berjaya mencampuri urusan dalaman kerajaan-kerajaan Kristian sendiri.
Polisi pemerintahannya ini diimplimentasikan oleh hajibnya yang terkenal, Abu al-Nucaym Ridwan b. cAbd Allah al-Nasri, dan wazirnya yang terbilang, Lisan
al-Din b. al-Khatib al-Salmani. Malah peluang ini digunakan pada peringkat awal pemerintahan untuk mewujudkan hubungan diplomatik yang lebih baik dengan kerajaan Banu Marin.
Walau bagaimanapun, pada Ramadan 760H/Ogos 1359M, ketika Sultan Muhammad V sibuk membuat persiapan untuk menyerang Aragon bagi membantu pihak Castile yang angkatan lautnya ketika itu sedang berlabuh di Málaga, baginda telah digulingkan oleh satu pakatan revolusi istana. Pemerintahan kerajaan Nasriyyah telah diambil alih oleh adik tirinya bernama Ismail II b. Yusuf b. Ismacil b. Faraj b. Ismacil b. Yusuf b. Nasr b. Qays al-Khazraji (1359-1360M). Pemerintahannya memakan masa beberapa bulan sahaja disebabkan kepimpinannya yang amat lemah. Bukan setakat itu sahaja, Muhammad VI el Bermejo yang sebelum ini telah membantu dan merancang penggulingan Sultan Muhammad V, telah membunuh Ismail dan adiknya, Qays, pada 8 ShaCban 761H/24 Jun 1360M.
Baginda yang merupakan menantu Sultan Yusuf I (ipar dan sepupu kepada Ismacil II), menaiki takhta dengan menggunakan gelaran Muhammad al-Ghalib biAllah (1360-1362M). Pada zaman pemerintahannya, baginda telah memihak kepada Kristian Aragon. Tindakannya ini amat tidak disenangi oleh Peter I of Castile menyebabkan Peter I telah memberi bantuan kepada Muhammad V yang
dibuang negeri ke Fas untuk kembali memerintah di Granada. Sultan Muhammad V berjaya memerintah semula Granada buat kali kedua pada Jumada al-Thaniyah
763H/Mac 1362M, iaitu setelah Muhammad VI el Bermejo menyerah diri kepada Peter I dan seterusnya dihukum bunuh di Tablada, berdekatan kota Seville pada
April 1360M.
Pertelingkahan kuasa antara Castile dan Aragon telah digunakan sebaik mungkin oleh Sultan Muhammad V dengan bijak. Baginda telah memberikan pertolongan kepada Peter I dengan menyerang Murcia pada tahun 763H/1362M.
Pada tahun 767H/1366M, perang saudara tercetus antara Peter I dengan adiknya, Enrique de Trastamara, yang menuntut takhta pemerintahan Castile. Peluang
kedua ini turut diambil Muhammad V dengan melakukan beberapa serangan ke atas pihak pemberontak yang menentang Peter I dan berjaya menyerang Utrera,
Jaén dan Úbeda serta mengepung Baeza dan Cordova. Malah baginda hampirhampir dapat menguasai kota Cordova (769H/1368M). Antara usaha baginda yang paling jelas untuk memperkukuhkan pemerintahan kerajaan Nasriyyah ialah kejayaan baginda menawan semula Algeciras pada tahun 770H/1369M.
Pada masa ini juga, kedudukan kerajaan Banu Marin di Fas dalam keadaan tidak stabil dengan pergolakan dalaman. Peluang ini, bahkan digunakan sebaik mungkin. Muhammad V untuk mencampuri urusan pemerintahan di Maghribi. Beliau berjaya menjadi penimbang tara dalam perlantikan sultan Banu Marin. Beliau juga berjaya menduduki Gibraltar dan menghapuskan jawatan
sheikh al-ghuzah. Dengan itu, terhapuslah kewujudan kuasa ketenteraan Banu Marin di Andalus.
Kemerosotah Dan Kejatuhan Granada
Kegemilangan kerajaan Nasriyyah tidak kekal lama apabila kerajaan ini mula merosot setelah kematian Sultan Muhammad V pada 16 Januari 1391. Pengganti-penggantinya terdiri daripada sultan-sultan yang lemah dan gagal menyamai tahap kepimpinannya yang berjaya menggabungkan diplomasi politik dan penggunaan kuasa ketenteraan pada masa yang diperlukan.
Secara umumnya, suasana politik di Granada pada ketika ini masih stabil dan tidak banyak berubah hingga membolehkannya bertahan hampir setengah abad selepas itu (793-820H/1391-1417M). Dalam tempoh tersebut, kerajaan Nasriyyah berada di bawah pemerintahan tiga orang sultan, iaitu Yusuf II (1391-1392M), Muhammad VII (1392-1408M) dan Yusuf III (1408-1417M).
Pada masa yang sama juga kedudukan pemerintahan kerajaan Kristian Castile berada dalam keadaan lemah dan berbalah sesama mereka sendiri dalam perebutan takhta, sama ada di kalangan para pengganti raja atau pihak pemberontak golongan aristokrat.
Bagaimanapun, setelah kekuatan kerajaan Kristian Castile mula pulih, mereka mula bertindak untuk menyerang dan menawan kubu kuat kerajaan Nasriyyah, iaitu Antequera pada tahun 813H/1410M. Ini diikuti pula dengan kemenangan tentera Kristian Castile dalam peperangan La Higueruela.
Bagaimanapun, setelah kekuatan kerajaan Kristian Castile mula pulih, mereka mula bertindak untuk menyerang dan menawan kubu kuat kerajaan Nasriyyah, iaitu Antequera pada tahun 813H/1410M. Ini diikuti pula dengan kemenangan tentera Kristian Castile dalam peperangan La Higueruela.
Perjalanan sejarah kerajaan Nasriyyah dalam peringkat berikutnya, iaitu bermula pada 820H/1417M hingga 897H/1492M, dipenuhi dengan ‘kekusutan’ dan bersifat kompleks dan rumit. Tempoh ini disifatkan sebagai saat perpecahan dalaman kerajaan Nasriyyah yang menyebabkan system pemerintahannya merosot, malah jatuh ke tangan Kristian Katholik pada tahun 1492M.
Menjelang pertengahan abad ke-15M, kerajaan Castile yang dipimpin oleh Henry IV (1454-1474M), anak John II, mula mengatur serangan hebat ke atas kerajaan Nasriyyah antara tahun 1455 hingga 1457M. Sedangkan pada waktu tersebut, kerajaan Nasriyyah menghadapi masalah dalaman yang serius kerana perebutan takhta pemerintahan di kalangan kerabat Banu Nasr sendiri, iaitu antara Abu Nasr Sad (1454-1464M) dan Muhammad XI el Chiquito (1451-1452,1453-1454M). Pada ketika ini (1450-an), kerajaan Nasriyyah mempunyai dua orang pemerintah. Muhammad XI mengusai kawasan Granada, Málaga dan Alméria termasuk kota Alhambra. Manakala Sad menguasai kawasan Archidona hingga ke Ronda di samping memperoleh sokongan kuat daripada Banu Sarraj dan pihak kerajaan Castile.
Pada tahun 1455M, konflik ini berakhir apabila Muhammad XI tidak disukai oleh para bangsawan dan penduduk Granada hingga menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri dari kota tersebut. Akan tetapi beliau telah terperangkap dalam satu serangan mengejut oleh anak Sad, Abu al-Hasan Ali (1464-1482M), lalu dihukum bunuh. Peluang ini digunakan dengan sebaiknya oleh Sad dengan menguasai Granada seluruhnya.
Akibat daripada pertelingkahan ini, Gibraltar yang merupakan pengkalan terakhir perhubungan Granada dengan kerajaan Islam di Afrika Utara telah ditakluki kerajaan Kristian Castile pada tahun 866H/1462M.
Kekuatan Banu Marin di Maghrib, Banu Abd al-Wad di Tilimsan dan kerajaan Banu Hafs di Tunisia mula lemah bersama-sama kejatuhan Granada, menyebabkan kerajaan Nasriyyah terpaksa bersendirian dalam menghadapi kemaraan tentera Kristian yang lebih besar.
Isabella
Pada ketika ini juga, kerajaan Kristian Castile yang baru kematian raja mereka, iaitu Henry IV (1454-1474M) telah digantikan oleh saudara perempuannya, Isabella (1474-1504M). Di Aragon pula, dengan kematian John II (1458-1479M), takhta dimiliki oleh anaknya, Ferdinand V (1479-1516) yang juga suami kepada Isabella of Castile. Dengan demikian, kedua-dua kerajaan ini telah berjaya disatukan dan menamatkan permusuhan selama beberapa abad antara kedua-dua kerajaan tersebut. Di bawah pemerintahan Isabella dan Ferdinand yang mendapat gelaran Catholic Monarchs, serangan ke atas kerajaan Nasriyyah di Granada semakin diperhebatkan.
Setelah melalui peperangan demi peperangan, akhirnya pada 29 Safar 897H bersamaan 1 Januari 1492M, Granada telah diserahkan kepada pihak Kristian Castile oleh sultan terakhir kerajaan Nasriyyah, Sultan Abu Abd Allah Muhammad XII (1482, 1486-1492M) yang lebih dikenali di Barat sebagai Boabdil. Kejatuhan Granada membawa makna berakhirnya kerajaan Islam di Sepanyol buat selama-lamanya setelah bertapak hampir lapan kurun di Eropah. Bagi kerajaan Kristian, khususnya Castile, kejatuhan ini merupakan kejayaan mutlak mereka yang diidam-idamkan, demi melengkapkan kempen Reconquista yang dilancarkan beberapa abad sebelum ini.
Kemunculan Ibn al-Ahmar atau Muhammad I b. Yusuf b. Nasr al-Khazraji di Arjona pada tahun 18 April 1232M menyaksikan detik permulaan kuasa pemerintahan Banu Nasr di kalangan para pemerintah semasa. Orak-arik yang
berlaku di sekelilingnya tidak pernah mematahkan semangat Ibn al-Ahmar untuk meneruskan cita-citanya mewujudkan sebuah pemerintahan Islam di bumi Andalus.
Dengan kejatuhan kekuasaan kerajaan al-Muwahhidun di Andalus pada akhir abad ke-11M, Ibn al-Ahmar bersama para pemimpin Islam di wilayahwilayah lain seperti Ibn Hud al-Judhami di Seville dan Ibn Mardanish di Valencia sedang bersaing antara satu sama lain untuk menjadi pemimpin Islam tunggal di Eropah. Dengan kematian Ibn Hud pada tahun 1238M dan penyerahan kota Valencia oleh Ibn Mardanish kepada James I of Aragon pada tahun yang sama, telah memberi peluang besar kepada Ibn al-Ahmar untuk menjadi pemimpin tunggal bagi seluruh masyarakat Islam di Andalus. Tambahan pula, kejatuhan kota metropolitan Cordova (1236M) dan Seville (1248) telah menjadikan Granada satu-satunya wilayah yang paling selamat untuk didiami oleh orang Islam.
Menerusi penumpuan terhadap corak pemerintahan para sultan Nasriyyah pada era pengukuhan dan pemantapan serta era kemajuan dan kegemilangan, penulis mendapati dalam tempoh berkenaan, iaitu sekitar seratus lima puluh
tahun yang pertama, kerajaan Nasriyyah berjaya meletakkan asas yang kukuh dalam penubuhannya. Di samping itu juga, kerajaan ini berjaya menentukan
polisi hubungan dalaman dan antarabangsa yang bijaksana dalam pemerintahannya. Dengan paparan sedemikian, didapati bahawa para sultan yang memerintah Granada pada era pengukuhan dan pemantapan ialah penentu kepada corak pemerintahan kerajaan Nasriyyah seterusnya. Antara para sultan yang memerintah pada era ini ialah seperti Sultan Muhammad II al-Faqih, Sultan Muhammad III al-Makhluk, Sultan Abu al-Juyush Nasr, Sultan Ismail I dan Sultan Muhammad IV. Sewajarnya penghargaan perlu ditujukan khusus kepada Sultan Muhammad II kerana beliau bertanggungjawab mewujud dan menyusun institusi pentadbiran kerajaan Nasriyyah secara efisien dan berkesan. Ini dapat dilihat kepada penubuhan institusi Diwan al-Insha’. Usaha
ini diteruskan pula pada era kemajuan dan kegemilangan kerajaan Nasriyyah.
Pada masa ini terdapat dua orang sultan yang amat terkenal dan dianggap sebagaizaman kegemilangan kerajaan Nasriyyah, iaitu Sultan Yusuf I al-Mu’ayyad biAllah dan Sultan Muhammad V al-Ghani bi Allah. Pada zaman pemerintahan mereka, Granada terkenal sebagai pusat utama ilmu pengetahuan di Eropah, disamping terbinanya sebuah istana yang masyhur dengan keindahannya di seluruh alam semesta, iaitu Alhambra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan